Sunday, 14 April 2013

..:: BAB IV : TALKIN DAN BIDAAH DALAM PENGURUSAN JENAZAH ::..

Alhamdulillah akhirnya bab iv berjaya disiapkan, walaupun tiada laptop, bak kata ustaz nizam “bukan alasan untuk xsiap tesis sebab xde laptop, kamu boleh siapkannye awl2 lg.....” ada lah lagi dengan panjang lebar nasihat dari ayahanda tercinta.

 
BAB IV

TALKIN DAN BIDAAH DALAM PENGURUSAN JENAZAH


4.1  PENDAHULUAN

Telah menjadi kebiasaan masyarakat di malaysia khususnya, memasukkan sesuatu yang baru yang dikenali sebagai adat[1] di dalam perkara-perkara seperti di dalam perkahwinan, menyambut kelahiran, dalam pengurusan jenazah dan lain lain lagi. Adat merupakan tinggalan orang-orang terdahulu kepada ahli keluarga atau pun dalam sesebuah negeri, masyarakat dan kawasan kampung. Adat yang terdapat di Malaysia tidak menjadi haram sekiranya adat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak
.
            Dalam bab ini akan mengupas dan mengkaji perkara-perkara mengenai adat dan bidaah di dalam pengurusan jenazah. Tidak semua adat dan bidaah itu semuanya haram, ada juga bidaah yang dibenarkan dan boleh diterima oleh syarak walaupun perkara tersebut tidak di lakukan oleh Rasulullah. Disini penulis akan mengkaji mengenai adat dan bidaah yang dilarang oleh agama terutama yang terdapat dan masih dilakukan oleh masyarakat di Malaysia.


4.2 BACAAN TALKIN

Selepas selesai kerja pengebumian dilaksanakan, salah seorang daripada yanghadir duduk diatas kubur dibahagian kepala dengan menghadap ke muka jenazah dan membelakangkan kiblat membacakan talkin untuk jenazah yang baru dikebumikan itu. Talkin[2] dari segi bahasa bererti mengajar atau memberi ingat.menurut istilah agama, mempunyai dua bahagian iaitu yang pertama, talkin bermaksud mengajar orang yang sedang nazak menyebut lafaz syahadah, iaitu la ilaha illa Allah. Kedua, mengingatkan orang yang sudah mati dan baru sahaja dikebumikan akan beberapa hal yang penting. Antaranya mengenai malaikat munkar dan nankir yang akan datang menyoalnya serta mendoakannya supaya tetap pendirian.


4.2.1.    Hukum talkin

Hukum menalkinkan jenazah selepas dikebumikan disisi mazhab Syafi’i dan Hanbali adalah sunat. Dalam mazhab Hanafi dan Maliki pula tidak ada talkin selepas upacarapengebumian. Disunatkan ialah talkin sebelum mati, iaitu ketika pesakit sedang nazak dengan mengajar ucapan la ilaha illa Allah.


4.2.2.    Lafaz talkin

Antara kandungan talkin itu ialah menyeru nama si mati itu dengan dibinkan atau dibintikan kepada ibunya. Kita boleh mendapatkan berbagai buku tentang lafaz talqin. Antara pringatan yang ditujukan kepada simati yang sudah dikebumikan itu ialah :
Ingatlah kamu semasa keluar daripada dunia dengan pengakuan la ilaha illa Allah wa anna Muhamad al-Rasulullah (tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah), syurga adalah benar,neraka adalah benar, kebangkitan manusia semula adalah benar. Kiamat akan berlaku tidak boleh diragukan lagi dan Allah akan membangkitkan semula manusia dari kubur. Kamu telah menerima Allah sebagai Tuhanmu, Islam sebagai agamamu, Muhammad s.a.w sebagai Nabi mu, al-Quran sebagai imamikutanmu, ka’bah sebagai kiblatmu dan sekalian orang mukmin adalah sebagai saudaramu.

            Walaupun hadis yang berkaitan dengan talqin ini erupakan hadis lemah, tetapi telah dikuatkan dengan maksud hadis sahih. Umat Islam memang telah lama mengamalkannya sejak sekian lama, iaitu sejak zaman hayat para ulama silam yang menjadi ikutan kepada umat Islam yang berikutnya.[3] 

4.3   BIDAAH DALAM PENGURUSAN JENAZAH
Penyelenggaran jenazah merupakan suatu ibadah yang sudah sedemikian jelas dihuraikan dalam banyak hadis Nabi yang mulia. Namun demikian dalam kenyataan sehari-hari, ritual[4] penyelenggaran jenazah ini seringkali jauh dari apa yang Rasulullah ajarkan kepada ummatnya.

4.3.1.   Definisi Bidaah

Bidaah[5] menurut kamus dewan edisi keempat bermaksud pembaharuan, terutamanya dalam agama Islam, manakala maksud bidaah menurut bahasa bermakna ikhtira’ iaitu sesuatu yang diciptakan tanpa ada contoh sebelumnya, misalnya perkataan orang Arab :
 أبدع الله الخلق
 Maksudnya :
Allah telah mengadakan makhluk dari tidak ada menjadi ada tanpa ada contoh sebelumnya, atau disingkat Allah telah menciptakan makhluk). Atau sebagaimana pula dalam,
Firman Allah :
 بديع السموات والأرض
Maksudnya :
Allah menciptakan langit dan bumi tanpa ada contoh sebelumnya.[6]

Bid’ah menurut istilah adalah :
 عبارة عن طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه

Maksudnya :
Cara baru dalam agama yang dibuat menyerupai syari’at dengan maksud untuk melebihkan dalam beribadah kepada Allah.

Hal ini mengacu kepada sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Ummul Mu’minin ‘Aisyah r.a, bersabda Nabi s.a.w :
 من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو ردّ

Maksudnya :
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan (agama) ini suatu perkara yang tidak ada perintahnya maka ia tertolak.[7]
Dalam riwayat Muslim, bersabda Nabi :
 من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو ردّ
Maksudnya :
Barangsiapa yang mengamalkan suatu amalan yang tiada perintahnya dariku dari perkara ini (agama) maka ia tertolak.[8]
 
4.3.2.    Bidaah-bidaah

Masyarakat melayu kaya dengan adat-adat yang tidak boleh ditinggalkan. Adat yang menjadi tradisi zaman berzaman ini terbawa-bawa dalam perkara-perkara ibadat tertentu, termasuk jugalah didalam penyelenggaraan jenazah. Antara bidaah-bidaah yang sering dilakukan ialah :

        i.            Bidaah azan dan iqamat untuk jenazah. Masyarakat Melayu juga mengamalkan banyak perkara bidaah dalam hal pengurusan jenazah . Mereka gemar membaca azan dan qamat sewaktu mayat diturunkan dari rumah atau ke dalam kubur. Sebenarnya tidak ada hadis yang mensyariatkan azan dan qamat untuk jenazah.
      ii.            Bidaah ketika jenazah di dalam keranda.  Biji buah pinang muda yang besarnya seperti biji tasbih di cucuk dengan benang bersama daun pandan kemudian diambil bunga nerjas dicucuk dengan benang untuk hiasan keranda.
    iii.            Bidaah tunggu kubur, Ada juga sebahagian masyarakat Melayu yang mengamalkan ‘Tunggu kubur’ . Mereka mengupah beberapa orang untuk menunggu kubur si mati untuk beberapa malam . Panjang masa menunggu adalah bergantung kepada kemampuan keluarga si mati . Lazimnya adalah dalam bilangan ganjil iaitu semalam , tiga malam , lima malam , tujuh malam dan seterusnya . Sebuah rumah kecil dibina berhampiran kubur si mati untuk tujuan membaca al-quran , berzikir dan sebagainya untuk  simati . Penunggu-penunggu mendapat upah yang agak lumayan . Hukum mengupah dan mengambil upah membaca al-Quran kepada simati , jumhur ulama menyatakan haram . Ini kerana , tiada pahala bagi orang yang membaca al-Quran kerana upah.
    iv.            Bidaah membina bangunan di atas kubur. Di antara bidaah lain ialah ada juga di antara orang Melayu yang membina binaan di atas kubur . Ada kubur yang dibina dengan konkrit , marmar dan lain-lain yang mahal harganya . Kadang kala dibina kubah , menara , memasang lampu-lampu dan hiasan yang indah khususnya dari kalangan orang berada dan kubur-kubur keramat atau wali.
      v.            Bidaah ketika selesai dikebumikan. Hal ini berlaku di malaysia iaitu segelintir  masyarakat di sarawak, selesai dikebumikan sebiji kelapa dibelah dua kemudian sebahagiannya dilambung ke atas dan sebahagian lagi ditinggalkan di kubur. Bahagian kelapa yang dilambung tadi dibawa kerumah untuk dibuat ubat untuk merawat penyakit sawan.
    vi.            Bidaah fidyah solat dan kenduri arwah. Dalam hal berkaitan kematian juga , kebanyakan masyarakat Melayu ada mengamalkan membayar fidyah untuk orang yang telah meninggal dunia yang semasa hidupnya ada meninggalkan solat . Perbuatan ini juga adalah bidaah kerana perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh nabi , para sahabat, al-salaf al-shalih dan tidak ada ulama yang membolehkannya. Kenduri arwah atau kenduri kematian yang diamalkan oleh Masyarakat Melayu juga adalah bidaah . Amalan ini akan membebankan waris dengan menyediakan makanan dan banyak berbelanja untuk malam-malam tiga , malam tujuh , malam empat puluh hari dan seterusnya. Ini adalah juga bidaah yang bertentangan dengan sunnah.


4.3.2.  Pembahagian Bidaah

Menurut Imam Muhammad bin Idris Assyafi’i yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim : Bidaah itu terbahagi kepada dua iaitu bidaah terpuji ( mahmudah ) dan bidaah tercela ( mazmumah). Maka mana-mana yang sesuai dengan sunnah , maka itulah yang terpuji dan mana-mana yang menyalahinya maka itulah yang tercela. Berdasarkan kenyataan ini, ada ulama yang membahagikan bidaah kepada 4 bahagian iaitu :
        i.            Bidaah sunnah.
Bidaah Sunnah ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah sunnah seperti solat Tarawih secara berjamaah.
      ii.            Bidaah harus.
Bidaah harus ialah tiap-tiap perkara yang harus seperti makan bermeja dan memakai pakaian yang berbagai-bagai bentuk fesyen yang tidak bertentangan dengan hukum syara’ .
    iii.            Bidaah haram.
Bidaah haram ialah bidaah yang termasuk dalam kaedah bidaah haram dengan dalil dari syara’ seperti menziarahi kubur-kubur dengan tujuan meminta sesuatu pertolongan .
    iv.            Bidaah makruh.
Bidaah makruh ialah bidaah termasuk kaedah makruh seperti menentukan hari tertentu untuk menunaikan sesuatu ibadat dengan kepercayaan bahawa hari itu lebih baik pada hari-hari lain.


[1] Peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulukala)di dalam sesuatu masyarakat. Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan bahasa dan pustaka. Kuala lumpur. 2005. Hlm 8.
[2] Ibid. Hlm 1582
[3] Selamat Hashim, Kematian Dan Pengurusan Jenazah, Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor, 2007, hlm 144-146.
[4] Tatacara dalam upacara keagamaan, adat. Kamus Dewan Edisi Keempat. Hlm 1336.
[5] Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan bahasa dan pustaka. Kuala lumpur. 2005. Hlm 181.
[6] Al-Baqarah : 117.
[7] Muttafaq ‘alaihi.
[8] HR Muslim





 


Terima kasih kepada sahabat yang baik hati dilah(norfadilah bt mohd amin dan ayu) sebab meraka bagi ain guna dan pinjam laptop mereka...semoga Allah mudahkan segala urusan mu di dunia dan akhirat.....akak betul-betul berterima kasih pada kalian....terima kasih sebab sudi tolong akak.