3.5
MENGEBUMIKAN JENAZAH.
Seperti yang dijelaskan sebelum ini apabila
seorang Islam meninggal dunia wajib dilakukan empat perkara ke atas jenazahnya,
iaitu mandi, kafan, sembahyang dan kebumi. Tiga perkara yang pertama telah
dibincangkan, iaitu berkaitan dengan kerja memandi, mengkafan dan
menyembahyangkan jenazah. Bab ini membincangkan pula berkaitan dengan
pengebumian jenazah.
Kebumikanlah
jenazah di dalam satu lubang yang kedalamannya tidak boleh digali oleh haiwan
dan hilang segala bauan kurang menyenangkan. Hendaklah juga jenazah dihadapkan
ke arah kiblat.
3.5.1.
Penyedian kubur.
Tanamlah jenazah di sebuah lubang kubur yang
dalamnya mengikut tinggi orang yang sederhana ketinggiannya. Satu hasta dan
sejengkal pula keluasannya.
احفروا وأوسعوا وأحسنوا
Maksudnya : galilah kubur sebagaimana yang
sepatutnya dan luaskan ruangnya dan buatlah dengan kemas.[1]
Wajib
dibaringkan jenazah di atas lambung atau sisi dan pipi kanannya dengan
menghadap ke arah kiblat. Jika jenazah ditanam dalam keadaan tidak menghadap ke
arah kiblat dan belum bau busuk, ia hendaklah digali semula.
Sunat
dibuat liang lahad pada dinding dalam kubur tersebut jika tanah perkuburan itu
keras. Sebagaimana permintaan Saad bin Abu al-Waqqas r.a. ketika sakit yang
membawa kepada kematiannya.
الحدوا لي لحدا وانصبوا علي اللبن نصبا كما صنع برسول الله
صلى الله عليه وسلم.
Maksudnya : buatkan untukku liang lahad dan
tegakkan dinding batu untukku sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w.[2]
Kita wajib menyegerakan pengkebumian jenazah
sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.
عن أبي هريرة رضي الله عنه النبي صلى الله عليه وسلم قال :
أسر عوا با لجنازة فاءن تك صالحة فخير تقدمو نها وإن تك سوى ذلك فشر تضعونه عن
رقابكم.
Maksudnya : daripada Abu Hurairah r.a daripada
Nabi s.a.w sabdanya : segerakanlah mengebumikan jenazah, kalau ia menerima
balasan dengan segera, kalau ia jahat maka kejahatan yang engkau tanggung itu
terlepas.
3.5.2
Hukum mengebumikan jenazah.
Mengebumikan jenazah hukumnya fardu kifayah ke
atas orang Islam. Sekiranya meninggalkan kewajipan itu maka semua orang akan
menanggung dosa. Namun, jika ia dilaksanakan walau seorang, maka gugurlah
kewajipan tersebut kepada orang lain.
Kelebihan
atau fadilat mengebumikan jenazah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Rafi’. Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
من غسل مسلما فكتم عليه غفر الله له أربعين مرة, ومن حفر له
فأ جنه أجرى عليه كأجر مسكن أسكنه إياه إلى يوم القيامة, ومن كفنه كساه الله يوم
القيامة من سندس وإستبرق الجنة.
Maksudnya :
Sesiapa yang memandikan jenazah seorang muslim
lalu ia merahsiakan aibnya, Allah akan memberikan keampunan sebanyak empat
puluh kali kepaadanya, dan sesiapa yang menggali liang lahad lalu
menimbuskannya, ia akan mendapat pahala seperti pahala yang memberikan tempat
tinggal kepadanya (iaitu jenazah) sampai hari kiamat, dan sesiapa yang
mengkafankannya, nescaya Allah akan memakaikan kepadanya pada hari kiamat
dengan pakaian daripada sundus (sutera nipis) dan istibraq (sutera tebal)
daripada syurga.
Jenazah
tidak boleh dikebumikan pada tiga waktu yang dilarang. Berdasarkan hadis Uqbah
bin Amir secara marfu’ berkata :
ثلاث
ساعات كان رسول الله ينها نا أن نصلى فيهن أو أن نقبر فيهن موتانا حين تطلع الشمس
با زغة حتى ترتفع وحين يقوم قائم الظهيرة حتى تميل الشمس وحين تضيف الشمس للغروب
حتى تغرب.
Maksudnya :
Ada tiga waktu kami dilarang oleh Rasulullah
s.a.w untuk melakukan solat atau menguburkan orang-orang yang meninggal dunia
diantara kami iaitu ketika mulai terbit matahari hingga benar-benar terbit,
ketika pertengahan hari hingga matahari condong ke barat dan ketika matahari
mulai terbenam hingga benar-benar terbenam.
Waktu larangan pengebumian :
i.
Tengah malam
ii.
Matahari sedang terbit
iii.
Matahari ditengah langit sampai tergelincir
iv.
Matahari hampir terbenam.
3.5.3 Mengiringi
jenazah.
Terdapat dua kategori mengeringi jenazah iaitu
ketegori pertama jenazah diiringi dari rumah hingga tempat solat (masjid atau
surau) kemudian bersolat jenazah. Ketegori kedua pula ialah jenazah diiringi
dari rumahnya, bersolat jenazah untuknya dan menunggu sehingga jenazah siap
dikebumikan.
Bagaimanapun,
kategori yang kedua lebih baik berdasarkan :
عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال من اتبع
جنازة مسلم إيمان واحتسابا وكان معه حتى يصلى عليها ويفرغ من دفنها فاءنه يرجع من الأجر
بقيرا طين كل قيراط مثل أحد ومن صلى عليها ثم رجع قبل أن تدفن فاءنه يرجع بقيراط.
Maksudnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah
r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : barangsiapa yang mengiringi
jenazah dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan dan dia bersamanya
(jenazah) sehingga ia disolatkan dan telah dikebumikan maka dia pulang dengan
mendapat pahala dua qirath : pada setiapnya seperti bukit uhud. Dan barangsiapa
yang bersolat ke atasnya dan pulang sebelum ia (jenazah) dikebumikan maka dia
pulang dengan pahala satu qirath.
3.5.4.
Adab mengiringi jenazah
i.
Tidak harus tergesa-gesa dengan berlari ketika
mengusung jenazah walaupun jenazah perlu dikebumikan dengan segera. Sebaiknya
orang yang mengiringi jenazah dengan berjalan kaki berada di belakang jenazah
namun, boleh juga mengiringi di hadapan, belakang atau kiri dan kanan jenazah.
ii.
Hendaklah mengiringi dari belakang jika orang
yang mengiringi jenazah berkenderaan.
iii.
Dibolehkan berkenderaan ketika mengiringi
jenazah, tetapi lebih baik berjalan kaki sebagaimana yang dilakukan Rasulullah
s.a.w.
iv.
Selepas mengiringi jenazah, disunatkan
mengambil wuduk.
v.
Tidak menangis dengan kuat atau meraung,
menarik pakaiannya dan berguling di atas tanah seperti orang yang tidak siuman.
vi.
Tidak menguatkan bacaan zikir atau ayat-ayat
al-Quran ketika mengiringi jenazah, kerana perbuatan tersebut menyerupai orang
kafir.
vii.
Tidak diiringi dengan paluan alat muzik
seperti gendang dan loceng kerana menyerupai adat orang bukan Islam, seperti
penganut Buddha mengiringi orang mati dalam kalangan mereka.
3.5.5.
Alat-alat pengkebumian
i.
Ukuran panjang mayat dengan tali dan berikan
kepada penggali kubur. Dalam kubur ialah enam kaki, dan panjangnya mengikut
panjang mayat dan lebarnya pula ialah tiga kaki hingga empat kaki.
ii.
Papan penutup liang lahad adalah sepanjang
mayat. Boleh juga digunakan keranda.
3.5.6.
Keadaan liang lahad
Sekurang-kurangnya keadaan kubur ialah tidak
ada satu lubang yang membolehkan keluar bau mayat dan tidak boleh dibongkar
oleh binatang buas. Keadaan kubur yang afdhal ialah :
i.
Kubur itu jangan terlalu luas atau terlalu
sempit. Kira-kira empat kaki lebarnya.
ii.
Anggaran dalamnya ialah empat1/2 hasta atau
setinggi orang yang berdiri dilebihkan lagi sehasta.
iii.
Dibuat lahad lebih utama. Lahad ialah tepi lubang
kubur sebelah kiblat kemudian diapit dengan semacam batu bata sehingga ia
seperti rumah yang beratap.
Jika sekiranya boleh, korek lubang ke arah
kiblat sekadar boleh dimuatkan mayat di dalam lubang biasa. Andainya tanah
perkuburan itu mudah runtuh maka hendaklah dibuat liang tengah. Untuk menutup
mayat, eloklah menggunakan papan.[3]
3.5.7.
Langkah-langkah pengkebumian jenazah.
i.
Tidak dikebumikan jenazah orang Islam bersama
mayat orang kafir atau sebaliknya.
ii.
Mengebumikan jenazah di kawasan perkuburan
adalah disunatkan.
iii.
Kuburkan para syuhada di tempat mereka syahid
seperti di medan peperangan dan jangan pindahkan ke tempat lain.
iv.
Jenazah boleh dikuburkan di malam hari.
v.
Gunakan pengusung empat penjuru untuk membawa
jenazah ke kubur.
vi.
Disunatkan berdiri bagi sesiapa yang melihat
jenazah diusung ke perkuburan sehingga jenazah itu hilang daripada
pandangannya.
vii.
Kerana keadaan yang darurat atau terdesak,
dibolehkan mengebumikan dua jenazah atau lebih dalam satu lubang kubur. Tetapi,
hendaklah dikebumikan setiap satu jenazah untuk satu lubang kubur jika
berkemampuan.
viii.
Sebaik-baiknya kubur bagi jenazah itu ialah
satu lubang yang dapat menghalang bau jenazah serta dapat melindungi jenazah
daripada digali oleh binatang buas.
ix.
Adalah lebih baik dan digalakkan untuk mengumpulkan
beberapa jenazah yang mempunyai talian persaudaraan.
x.
Keluasan dan kedalaman lubang kubur adalah
sebaik-baiknya lebih kurang enam kaki.
xi.
Liang lahad dikorek ke arah kiblat sebesar
jenazah daripada bahagian tepi kubur. Manakala, dibuat satu lubang kecil
ditengah sebesar badan jenazah seperti sebuah parit di sebelah bawah kubur yang
diberi nama liang kembal budi (syaq).
xii.
Sama seperti kita meletakkan jenazah ketika
disolatkan, kubur perlu digali secara melintang ke arah kiblat.
xiii.
Cara meletakkan mayat itu dalam kuburnya,
hendaklah mayat itu dimasukkan dengan menghulurkan kepalanya ke dalam dan
disambut oleh tiga orang yang menanti di dalamnya. Kemudian dibaringkan di atas
lambung atau sisi kanan menghadap kiblat. Setelah itu ditutup liang lahad atau
liang kembal budi itu dengan papan atau seumpamanya dan dikambus.
xiv.
Berdasarkan sebuah hadis, ketika jenazah
diletakkan di dalam kuburnya, sunat mambaca :
بسم الله وعلى ملة رسول الله.
Maksudnya : Dengan nama Allah atas agama
Rasulullah.
xv.
Wajib digali semula dan diperbetulkan
kedudukan jenazah jika jenazah ditanam secara membelakangkan atau disembamkan
mukanya ke tanah selagi jenazah tidak berbau busuk.
xvi.
Disunatkan meletakkan tiga kepal tanah ke
dalam kubur bagi sesiapa yang berada di tepi kubur tersebut.
a. Kepal yang pertama dibaca :
منها خلقناكم
b.
Kepal yang kedua dibaca :
وفيها
نعيدكم
c. Kepal yang ketiga :
ومنها
نخرجكم تارة أخرى
xvii.
Sesudah lubang kubur ditimbus, tanahnya
hendaklah ditinggikan sejengkal dan diratakan, kemudian dipacakkan batu
nisannya di bahagian kepala dan kakinya, dicacakkan pula daun-daun kehijauan,
lalu dijiruskan air di atas kubur itu dimulai daripada kepala di pihak kanan
hingga dua kakinya.
Begitulah dijelaskan mengenai mengebumikan
jenazah secara syarie, mengikut beberapa kitab dan pendapat yang dipilih dan
diterima pakai oleh semua golongan masyarakat.
No comments:
Post a Comment