3.2. MEMANDIKAN
JENAZAH
Apabila seorang Islam meninggal dunia,
terdapat beberapa tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh orang Islam yang
masih hidup terhadap jenazah tersebut. Agama Islam mewajibkan agar jenazah itu
diuruskan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Pengurusan terhadap jenazah
orang Islam merangkumi empat perkara, iaitu mandi, kafan, sembahyang dan
mengkebumikan. Bab ini akan membincangkan secara terperinci perkara pertama
iaitu memandikan jenazah.
3.2.1. Hukum
Memandikan jenazah adalah fardu kifayah kepada
mereka yang masih hidup. Seperti yang diketahui, fardu kifayah ialah satu fardu
atau kewajipan syarak yang apabila ada pihak telah melaksanakannya maka pihak
yang lain akan terlepas daripada tuntutan melaksanakan hukum tersebut. Dalam
hubungan ini, sekiranya ada pihak yang telah menyempurnakan tugas memandikan
jenazah, maka dengan itu akan terlepaslah orang lain daripada tanggungjawab
memandikannya.
Apabila
telah dipastikan seseorang itu telah meninggal dunia, maka sunat dimandikan
jenazahnya dengan segera. Sekiranya berlaku jenazah dikebumikan tanpa
dimandikan terlebih dahulu, maka wajib dibongkar semula kuburnya dan dimandikan
jenazah berkenaan. Kemudian baru dikebumikan semula.
Menurut
mazhab Syafi’i dan Hambali jika sebahagian sahaja daripada badan mayat yang
masih tinggal, mayat tersebut wajib dimandi dan disembahyangkan. Menurut
pendapat Abu Hanifah dan Malik pula, kalau bahagian jasad jenazah yang dijumpai
itu banyak, wajib dimandi dan disembahyangkan. Namun jika sedikit hukumnya
tidak wajib. Kalau ketiadaan air atau tidak boleh menggunakan air disebabkan
mayat itu akan hancur jika terkena air, maka mayat tersebut hendaklah
ditayammumkan sebagai ganti kepada mandi.
3.2.2. Tanggungjawab pemandi
Pemandi jenazah hendaklah terdiri daripada
orang yang boleh dipercaya dan yang amanah terhadap tugasnya. Sifat yang
seumpama ini perlu untuk memstikan tugas memandi yang dilakukan itu dapat
dijalankan dengan sempurna. Pemandi yang amanah tidak akan melakukan sesuatu
yang tidak baik terhadab jenazah yang dimandikan itu seperti memandang auratnya
atau menjalankan kerja memandikan dengan kasar atau sebagainya.
Sekiranya
pemandi mendapati jenazah yang dimandikannya itu berkeadaan menggembirakan
seperti berbau harum atau mukanya tenang maka sunat ia menceritakannya kepada
orang ramai. Tetapi jika sebaliknya misalnya didapati jenazah tersebut barbau
busuk atau keadaan muka berkerut dan sebagainya, keadaan tersebut tidak harus
dihebahkan kepada orang ramai.
3.2.3. Pemandi
Pemandi lelaki adalah lebih berhak memandikan
jenazah lelaki. Begitu juga dengan pemandi perempuan adalah lebih berhak
memandikan jenazah perempuan. Keutamaan diberikan adalah berdasarkan kepada
jantina jenazah.
Sekiranya
seorang perempuan meninggal dunia dan mereka yang ada untuk menguruskan
jenazahnya kesemuanya lelaki ajnabi, si mati itu pula tidak mempunyai suami dan
mahram, maka pada ketika itu lelaki yang ajnabi itu hendaklah melakukan tayamum
pada jenazah berkenaan. Cara melakukan tayamum tersebut hendaklah menggunakan
lapik untuk mengelakkan tangannya daripada tersentuh kulit jenazah. Had
tayamumnya pula ialah hingga dua siku jenazah sahaja. Lelaki ajnabi itu tidak
dibenarkan memandang aurat jenazah.
Begitu
juga halnya dengan seorang lelaki yang meninggal dunia sedangkan yang ada
semuanya perempuan ajnabiah, lelaki itu pula tidak mempunyai isteri dan tidak
ada mahram, maka urusan memandikannya sama seperti jenazah perempuan tadi.
Sekiranya terdapat mahram, maka mahram itulah yang memandikan jenazah. Tetapi
kalau ada suaminya atau isterinya, dialah yang lebih berhak memandikannya
daripada mahramnya.
Jika
terdapat jenazah seorang lelaki Islam sedangkan mereka yang ada pada waktu itu
hanya dua orang saja, iaitu seorang lelaki kafir dan seorang perempuan
muslimah, maka lelaki kafir itulah yang berhak memandikan jenazah tersebut.
Sementara perempuan muslimah hendaklah menyembahyangkannya.
Haram
orang lelaki memandikan jenazah perempuan begitu juga sebaliknya melainkan jika
kedua-duanya adalah suami isteri. Sekiranya isteri meninggal dunia, suami boleh
memandikan jenazah isterinya itu dan begitulah sebaliknya. Menurut mazhab
Syafi’i dan Malik, suami isteri yang sudah bercerai sekalipun dengan talak
raj’i dan isteri masih lagi berada dalam edah, masing-masing tidak boleh
memandikan jenazah antara satu sama lain, sekiranya salah seorang daripada
mereka meninggal dunia.
3.2.4. Bercampur jenazah
Jika bercampur aduk di antara jenazah orang
Islam dengan mayat orang kafir atau jenazah orang yang tidak syahid dengan
jenazah yang syahid atau jenazah bayi keguguran yang wajib disembahyangkan
dengan jenazah bayi keguguran yang tidak wajib disembahyangkan, sehingga tidak
dapat dibezakan lagi, maka pada ketika itu semua jenazah tersebut wajib
dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan. Tindakan seumpama ini terpaksa
dilakukan kerana penyempurnaan yang wajib, iaitu menguruskan jenazah orang
Islam tidak dapat disempurnakan melainkan dengan cara yang demikian.
3.2.5.
Dua cara untuk memandikan jenazah dengan mudah bergantung kepada keadaan.
Sekiranya berada dalam keadaan tertentu
seperti kekurangan kelengkapan kerana kemiskinan dan terlalu banyak jenazah
yang perlu dimandikan seperti mangsa-mangsa tsunami, kita digalakkan memandikan
jenazah dengan cara yang paling mudah. Caranya, hilang najis yang ada pada tubuhnya,
dan ratakan air keseluruh tubuhnya.
i.
Mandikan jenazah secara sempurna dan
disunatkan mengikut sunnah.
ii.
Pelihara auratnya dan letakkan jenazah di
tempat yang tinggi seperti di atas katil, papan atau tempat khas memandikan
jenazah.
iii.
Dengan menggunakan
tangan kanan, tundukkan dan tahan badan jenazah manakala tangan kiri pula, urut
perutnya untuk keluarkan semua najis yang ada. Kemudian, dengan memakai sarung
tangan, basuh kedua-dua kemaluannya dan bersihkan juga mulut, lubang hidung dan
telinga. Pastikan air sampai padanya.
iv.
Kepala dan muka jenazah hendaklah dibasuh
dengan sabun atau sesuatu yang boleh membersihkannya. Rambutnya disikat, dan
jika tercabut hendaklah dikebumikan bersama dengannya.
v.
Dibasuh dengan sempurna semua bahagian kanan bermula
de bahagian tengkuknya juga. Dengan itu semua tubuhnya telah diratai air.
Disunatkan mencampurkan sedikit kapur dalam
air mandian terakhir sekiranya jenazah tidak berada dalam ihram.
3.2.6. Alat-Alat
Mandian
i.
Sabun mandi
ii.
Kapas
iii.
Air bersih
iv.
Putik kapas
v.
Kapur barus
vi.
Baldi dan gayung/cebok air
vii.
Sarung tangan & apron plastik.
viii.
Air daun biadara
3.2.7. Cara
Memandikan Jenazah
Sekarang sampai kepada perbahasan yang
terpenting sekali dalam tajuk memandikan jenazah, iaitu bahagian pelaksanaanya.
Berikut diterangkan sepuluh langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan
urusan memandikan jenazah.
i.
Menentukan tempat mandi
Sebelum urusan memandikan jenazah
dilaksanakan, sunat diletakkan jenazah berkenaan di tempat yang agak tinggi
yang tidak terdedah kepada laluan terbuka dan pandangan orang ramai. Hanya
pemandi dan pembantunya sahaja yang dibenarkan berada di situ.
ii.
Memakaikan baju
Setelah menentukan tempat mandi, jenazah
berkenaan dipakaikan dengan kain atau baju dari jenis kain yang nipis yang membolehkan
air telus ke kulitnya. Bahagian lengannya dibuat luas bagi membolehkan pemandi
memasukkan tangannya untuk tujuan menggosok badan jenazah. Kalau cara ini agak
menyusahkan, bolehlah dibelah sedikit baju tersebut melalui kedua-dua belah
tepinya. Sekiranya baju daripada kain jenis ini tidak diperoleh, maka wajib
menutup aurat jenazah dengan sebarang kain yang sesuai. Sementara muka jenazah
sunat dututup sejak dari mula ia diletakkan di atas tempat mandian.
iii.
Mendudukkan jenazah
Selepas itu pemandi hendaklah menggerakkan
jenazah tersebut dengan perlahan-lahan untuk menjadikannya dalam keadaan duduk.
Apabila sudah didudukkan, pegang bahu jenazah menggunakan tangan kanan. Ibu
jari pemandi diletakkan di bahagian lekuk yang terdapat di pangkal tengkuk
jenazah. Pemandi kemudiannya hendaklah menyandarkan jenazah pada lututnya yang
sebelah kanan, sambil tangan kirinya mengurut dengan perlahan perut jenazah.
Perbuatan ini dilakukan berulang-ulang kali untuk mengeluarkan segala kekotoran
yang masih terdapat di dalam perut jenazah.
iv.
Membaringkan jenazah
Selepas jenazah berkenaan dibaringkan semula.
Pemandi membalut tangan kirinya dengan kain. Dengan menggunakan tangannya yang
berbalut itu, ia membersihkan kedua-dua kemaluan jenazah dan bahagian auratnya.
Air hendaklah terus dijirus supaya dapat membersihkan segala najis yang keluar.
v.
Membersihkan gigi dan hidung
Selepas selesai membersihkan kemaluan jenazah,
pemandi menanggalkan balutan tangan kirinya itu dan membasuhnya dengan air dan
sabun. Kemudian dia mengambil perca kain yang lain dan membalut jari telunjuk
tangan kirinya. Jari yang berbungkus ini digunakan untuk membersihkan gigi dan
kedua-dua lubang hidung mayat.
vi.
Mengambil wuduk
Selepas selesai semuanya itu barulah
diambilkan wuduk untuk jenazah berkenaan. Wuduknya sama seperti wuduk orang
yang masih hidup termasuk segala sunatnya seperti berkumur dan seterusnya.
Pemandi wajib melakukan niat wuduk untuk jenazah berkenaan. Niatnya adalah
seperti berikut : sahaja aku mengambil wuduk yang sunat bagi mayat lelaki ini
(bagi mayat perempuan ini) kerana Allah ta’ala. Hukum niat wuduk untuk jenazah
adalah wajib sekalipun perbuatan mewudukkannya adalah sunat. Sementara niat
memandikan mayat hukumnya sunat walaupun hukum memandikannya adalah wajib.
vii.
Membasuh kepala
Selepas selesai mewudukkan jenazah dimulakan
membasuh kepala, janggut dan misainya dengan menggunakan sabun. Pemandi boleh
menyikat rambut dan janggut jenazah dengan menggunakan sikat yang mempunyai
gigi jarang. Cara menyikat hendaklah dilakukan dengan penuh cermat supaya
jangan ada rambutnya yang tertanggal. Jika sekiranya ada rambutnya yang
tertanggal, maka rambut itu hendaklah dipungut dan dimasukkan ke dalam kafannya. Walau bagaimanapun,
perbuatan menyikat rambut jenazah ini tidak boleh dilakukan terhadap jenazah
orang yang sedang berihram kerana ditakuti tertanggal rambutnya.
viii.
Mambasuh tubuh badan jenazah bahagian hadapan.
Selepas itu pemandi mula membasuh tubuh badan
jenazah yang sebelah kanan di bahagian hadapan. Air dijirus dari tengkuk
jenazah membawa ke hujung kakinya. Kemudian dibasuh pula tubuh badannya yang
sebelah kiri juga dari bahagian hadapan dengan cara yang sama.
ix.
Membasuh tubuh badan jenazah bahagian belakang
Selepas itu pemandi menggerakkan jenazah
sehingga kedudukannya berada dalam keadaan berbaring mengiring di atas rusuknya
yang sebelah kiri. Sekarang dibasuh pula tubuh badannya yang sebelah kanan di
bahagian belakang. Caranya sama seperti di bahagian (8), iaitu dengan
menjiruskan air dari tengkuk hingga ke hujung kakinya. Kemudian jenazah
tersebut hendaklah digerakkan semula ke kedudukan berbaring mengiring di atas
rusuk kanannya untuk membolehkan pemandi membasuh tubuh badannya yang sebelah
kiri di bahagian belakang.
Perlu
ditegaskan disini bahawa jangan sekali-kali meniarapkan mayat dengan mukanya ke
bawah. Perbuatan ini hukumnya haram kerana tidak menghormati mayat.
x.
Melakukan jirusan dengan air bersih
Setelah sembilan perkara di atas selesai
dilaksanakan, pemandi menjirus sekali lagi dengan air yang bersih untuk menghilangkan
air sabun. Kemudian diikuti dengan jirusan air bersih yang dicampur dengan
sedikit kapur barus dengan kadar yang tidak mengubah sifat air.
3.2.8.
Niat dan hukumnya
Niat mandi hendaklah di lakukan semasa
menjirus tubuh badan jenazah dengan air bersih yang bercampur dengan sedikit
kapur barus, iaitu selepas dibersihkan tubuh badannya daripada segala kekotoran
dan kesan air sabun. Basuhan yang bertujuan menghilangkan najis dan basuhan
yang menggunakan sabun yang dilakukan sebelum itu tidak diambil kira sebagai
jirusan pertama dalam kerja memandikan jenazah berkenaan. Untuk mendapatkan
fadilat sunat, hendaklah diulangi jirusan dengan air bersih untuk kali kedua
dan ketiga. Niat memandikan jenazah ialah :
نويت الغسل الواجب لهذا الميت ( لهذه الميتة)
لله تعالى
sahaja aku melakukan mandi yang wajib bagi
mayat lelaki ini (bagi meyat perempuan ini) kerana Allah ta’ala.
Menurut
Imam al-Syaribini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, niat memandikan
jenazah hukumnya sunat, manakala perbuatan memandikan-nya adalah wajib. Ada
yang berpendapat bahawa jenazah orang Islam yang dimandikan oleh orang kafir
tidak perlu dimandikan semula. Begitu juga halnya dengan jenazah orang Islam
yang mati lemas tenggelam di dalam air, juga tidak perlu dimandikan semula
kerana tujuan untuk membersihkan tubuh badannya daripada kekotoran telah pun
tercapai. Lafaz niat mewudu’kan jenazah lelaki, sahaja aku mewudu’kan jenazah
lelaki ini kerana Allah Taala. Lafaz niat mewudu’kan jenazah wanita, sahaja aku
mewudu’kan jenazah wanita ini kerana Allah Taala.
No comments:
Post a Comment