3.4
SOLAT JENAZAH
Perbincangan selanjutnya ialah tentang satu
lagi fardhu kifayah yang wajib dilaksanakan terhadap jenazah orang Islam
sebelum dikebumikan. Fardhu kifayah yang dimaksudkan itu ialah melakukan
sembahyang jenazah.
3.4.1. Hukum
Ijmak ulama memutuskan bahawa sembahyang
jenazah adalah fardhu kifayah bagi setiap orang Islam yang hidup. Sekiranya
terdapat seorang atau beberapa orang daripada mereka yang melaksanakannya, maka
terlepaslah tanggungjawab orang Islam yang lain. Sesiapa yang melaksanakan
sembahyang jenazah maka dialah yang memperoleh ganjarannya di sisi Allah.
Mereka yang tidak bersembahyang tidak mendapat sebarang ganjaran atau pahala
walaupun tanggungjawab ke atas mereka telah pun terlepas.
3.4.2.
Syarat sah sembahyang
Sembahyang jenazah juga mempunyai syarat yang
tertentu bagi menentukan sembahyang itu sah di sisi syarak. Semua syarat yang
diwajibkan semasa menunaikan sembahyang biasa adalah juga menjadi syarat kepada
sembahyang jenazah. Syarat yang dimaksudkan termasuklah Islam, berakal,
mumaiyiz, bersuci, menutup aurat, tidak ada najis pada badan, pakaian dan
tempat sembahyang. Juga disyaratkan menghadap kiblat, dengan niat dan
syarat-syaratnya yang lain.
3.4.3. Hukum berjamaah
Hukum berjamaah bagi sembahyang jenazah adalah
sunat. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda :
وعن ابن عباس , رضي الله عنهما قال : سمعت النبي صلى الله
عليه وسلم يقول : ما من رجل مسلم يموت, فيقوم على جنازته أربعون رجلا, لا يشر كون
باالله شيئا, إلا شفعتهم الله فيه.[1]
Maksudnya :
Dari Ibnu Abbas ra, dia berkata : saya mendengar
Nabi s.a.w bersabda, tidak ada satupun orang muslim yang meninggal, lalu ada
empat puluh orang laki-laki mensolatkan jenazahnya dan mereka tidak
menyekutukan Allah dengan apapun, kecuali Allah akan menerima syafaat mereka
kepadanya (mayat itu).[2]
Al-Baihaqi
meriwayatkan bahawa jenazah Rasulullah s.a.w telah disembahyangkan oleh
beberapa kumpulan jamaah secara bergilir-gilir dan tidak dilakukan satu kali
sembahyang secara berjamaah dengan seorang imam. Ini bertujuan untuk
mengelakkan sangkaan sesetengah pihak bahawa kononnya sesiapa yang mengimamkan
sembahyang terhadap jenazah Rasullullah, ia mempunyai harapan besar akan
dilantik sebagai khalifah menggantikan baginda.
3.4.4.
Bilangan orang yang bersembahyang
Fardhu sembahyang jenazah dikira terlaksana
walaupun yang menunaikannya hanya seorang sahaja kerana berjamaah tidak menjadi
syaratnya. Pendapat yang lain pula mengatakan mestilah terdiri daripada dua
orang kerana minimum ahli dikatakan jamaah ialah dua orang. Satu pendapat lagi
menyatakan wajib tiga orang mengerjakan solat jenazah.
Rasulullah
menggunakan kata jama’ semasa menyuruh sembahyang. Tiga adalah bilangan
minimum yang termasuk dalam kata jama’ dalam ilmu nahu bahasa
arab.
Sementara
al-Syaikh Abu Ali pula berpendapat bahawa wajib dilakukan oleh empat orang.
Pendapat ini berdasarkan kepada pemahamannya tentang jumlah orang yang
mengusung mayat adalah seramai empat orang. Oleh sebab sembahyang adalah lebih
utama daripada mengusung jenazah maka jumlah minimum ahli sembahyang jenazah mestilah
empat. Menurut mazhab Syafi’i, hukum fardhu kifayah tidak terlepas sekiranya
sembahyang itu ditunaikan oleh orang perempuan sahaja sedangkan masih ada orang
lelaki. Tindakan yang sebegini adalah satu penghinaan terhadap jenazah.
3.4.5. Syarat mayat yang disembahyangkan.
Selain daripada syarat yang ditetapkan ke atas
orang yang hendak menunaikan sembahyang jenazah, terdapat juga beberapa syarat
lagi yang mesti ada pada jenazah bagi memastikan sembahyang yang akan
ditunaikan dikira sah.
i.
Islam
Syarat bagi jenazah yang hendak disembahyangkan itu
mestilah terdiri daripada jenazah orang Islam. Haram menyembahyangkan mayat
orang kafir.
Firman Allah :
Dan janganlah Engkau sembahyangkan seorang pun
Yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah Engkau
berada di (tepi) kuburnya, kerana Sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan
RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).[4]
ii.
Sudah disucikan
Jenazah itu mestilah telah disucikan terlebih dahulu,
iaitu sudah dimandikan, sebelum disembahyangkan. Haram melakukan sembahyang
terhadap jenazah yang belum disucikan sama ada dengan dimandikan atau
ditayamumkan, sekiranya tidak boleh dimandikan.
iii.
Ditempatkan dihadapan
Jenazah yang hendak disembahyangkan itu hendaklah
ditempatkan di hadapan mereka yang menyembahyangkannya. Tidak sah sembahyang
jika jenazah berada di belakang dan orang yang menyembahyangkannya di hadapan.
iv.
Bukan syahid
Syarat yang seterusnya ialah jenazah yang hendak
disembahyangkan itu bukan terdiri daripada jenazah syahid, iaitu orang Islam
yang mati terkorban dalam pertempuran kerana pertahankan kesucian agama Islam.
Orang Islam yang mati dalam keadaan syahid, haram disembahyangkan kerana
jenazahnya haram dimandikan dan darah yang ada pada tubuhya haram dibersihkan.
3.4.6. Rukun sembahyang.
Sembahyang jenazah juga mempunyai rukunnya.
Antara rukun-rukunnya ialah.
i.
Niat
Sah sembahyang jenazah dengan niat fardu sahaja tanpa
disebut kifayah. Sementara pendapat yang lain pula menyatakan bahawa wajib
disebut kifayah untuk membezakannya dengan fardu ain. Semasa berniat sembahyang
untuk jenazah sama ada yang hadir atau yang ghaib, tidak wajib ditentukan
dengan menyebut nama si mati. Ini kerana, jika tersalah menyebut nama, seperti
diniatkan sembahyang untuk jenazah Umar tetapi sebenarnya yang disembahyangkan
itu ialah jenazah Zaid, maka tidak sah sembahyangnya itu.
ii.
Berdiri
Sembahyang jenazah hendaklah dilakukan dengan cara
berdiri dari mula hingga akhir. Walau bagaimanapun, mereka yang unzur boleh
melakukannya dengan cara duduk. Ada juga pendapat yang menyatakan harus
menunaikan sembahyang jenazah dengan duduk, seperti menunaikan sembahyang
sunat, dengan alasan kerana sembahyang jenazah bukannya fardu ain.
iii.
Empat takbir termasuk takbiratulihram
Dalam sembahyang jenazah terdapat empat kali takbir
termasuk takbiratulihram. Jika ditambah dengan sengaja hingga menjadi lima kali
takbir, menurut pendapat yang lebih sahih tidak batal sembahyangnya, kerana
takbir adalah suatu zikir. Takbir tidak menjejaskan sembahyang apabila
ditambah. Tetapi pendapat yang lain mengatakan bahawa batal sembahyang tersebut
kerana penambahan takbir sama seperti menambah rakaat pada sembahyang biasa.
Sekiranya imam bertakbir hingga lima kali, tidak disunatkan makmum mengikutnya.
Makmum boleh memberi salam dahulu atau menunggu salam imamnya.
iv.
Membaca al-Fatihah
Seperti juga dengan sembahyang yang lain, sembahyang
jenazah juga diwajibkan membaca fatihah. Masa membecanya ialah selepas takbir
yang pertama dan sebelum takbir yang kedua. Ada pendapat yang mengharuskan
membaca fatihah selepas takbir yang kedua, iaitu selepas membaca selawat ke
atas Nabi. Fatihah juga harus dibaca selepas takbir ketiga, iaitu selepas doa
untuk jenazah. Harus tidak membaca sebarang bacaan selepas takbir yang pertama.
v.
Selawat
Masa membaca selawat ialah selepas takbir yang kedua dan
sebelum takbir ketiga. Tidak boleh dipindahkan ke tempat lain seperti yang
boleh dilakukan kepada membaca fatihah.
vi.
Berdoa untuk jenazah
Masa membaca doa untuk jenazah ialah selepas takbir yang
ketiga dan sebelum takbir yang keempat. Doa ini tidak boleh dipindahkan ke tempat
lain. Doa yang dibaca hendaklah khusus untuk jenazah yang disembahyangkan
kerana jenazah itulah yang dimaksudkan dengan sembahyang yang sedang dilakukan
itu. Semua bacaan yang dibaca sebelum ini adalah pendahuluan sahaja. Abu Daud,
Ibnu Hibban dan Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
عن
أبي هريرة, قال : سمعت رسول الله صلى الله علىه وسلم يقول : إذا صليتم على الميت,
فأخلصوا له الدعاء.[5]
Maksudnya :
Dari Abu Hurairah, ia berkata : saya mendengar
Rasulullah s.a.w bersabda, jika kalian solat untuk mayat, berdoalah dengan
ikhlas untuknya. (hasan al-ahkam).[6]
vii.
Memberi salam
Memberi salam dalam sembahyang jenazah sama seperti
sembahyang yang lain dari segi cara, bilangan serta berpaling ke kanan dan ke
kiri selepas melafazkannya. Masa memberi salam ini ialah selepas takbir yang
keempat. Tidak disunatkan menambah wabarakatuhu. Walau bagaimanapun, ada
pendapat yang mengatakan sunat ditambah perkataan tersebut.
3.4.7.
Perkara sunat dalam solat jenazah.
i .
Mengangkat kedua-dua tangan untuk
keempat-empat takbir.
ii. Meletakkan tangan di bawah dada selepas mengangkat takbir.
iii. Disunatkan juga membaca ta’awwuz, tetapi tidak disunatkan membaca doa
iftitah.
iv. Memperlahan bacaan-bacaan dalam solat.
v. Mengucapkan Amin selepas membaca al-fatihah.
vi. Berdiri dalam tiga saf atau lebih, sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda
s.a.w ketika dilakukan oleh Baginda s.a.w ketika menyembahyangkan raja
al-Najasyi.
vii. Tahmid sebelum selawat ke atas Nabi s.a.w.
viii.Doa ke atas Muslimin dan Muslimat selepas selawat ke atas Nabi.
ix. Disunatkan membaca doa berikut selepas takbir ke empat dan sebelum salam :
اللهما لا
تحرمنا أجره ولا تفتنا بعده واغفر لنا وله ولاءخواننا الذين سبقونا بالاءيمان ولا
تجعل في قلوبنا غلا للذين امنوا ربنا إنك رؤوف رحيم.
x. Memberi salam yang kedua
xi. Sunat mendirikan solat jenazah secara berjemaah, tetapi diharuskan
melakukannya seorang diri.[7]
3.4.8.
Kedudukan jenazah dalam solat jenazah
i.
Cara solat jenazah lelaki.
a. Kedudukan imam berada di bahagian kepala jenazah
ii. Cara solat jenazah perempuan.
b. Kedudukan imam berada di bahagian pinggang jenazah.
iii. Cara solat ramai bagi jenazah lelaki
c. Kesemua jenazah lelaki itu diletakkan sama dengan imam iaitu dibahagian
kepala jenazah.
iv. Cara solat ramai jenazah perempuan.
d. Kesemua jenazah perempuan diletakkan sama dengan imam iaitu dibahagian
pinggang jenazah.
v. Cara solat ramai jenazah lelaki dan perempuan.
e. Jenazah lelaki diletakkan sama, dengan imam iaitu dibahagian kepala jenazah
dan jenazah perempuan yang ramai itu diletakkan keatas sedikit sehingga sampai
kepada pinggang jenazah perempuan.
Mereka yang lebih afdhal menjadi imam dan
solatkan jenazah :
i.
Bapa
ii.
Datuk ke atas
iii.
Anak lelaki
iv.
Cucu dan ke bawah
v.
Saudara lelaki saibu sebapa
vi.
Saudara lelaki sebapa
vii.
Anak lelaki saudara seibu sebapa.
viii.
Anak lelaki saudara seibu
ix.
Seterusnya mengikut tertib asobah dalam ilmu
faraid.
3.4.8.
Cara mengerjakan solat jenazah.
Berdiri betul dan lafaz niat solat jenazah. Lafaz niat solat jenazah
mayat perempuan.
أُصَلِّي
عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat keatas mayat perempuan ini empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala.
Lafaz niat solat jenazah mayat lelaki.
أُصَلِّي
عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat keatas mayat lelaki ini empat takbir fardhu kifayah kerana Allah taala.
Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak Lelaki.
أُصَلِّى
عَلَى هَذَا اْلمَيِّتِ الطِفْلِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ للهِ
تَعَالَى
Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak lelaki empat takbir fardhu kifayah
kerana Allah Taala.
Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak perempuan.
Lafaz niat solat jenazah mayat kanak-kanak perempuan.
أُصَلِّى
عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ الطِفْلَةِ اَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ
للهِ تَعَالَى
Sahaja aku sembahyang atas mayat kanak-kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah kerana Allah Taala.
Lafaz niat solat jenazah bagi imam ditambah perkataan imaman.
أُصَلِّي
عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ إِمَامًا للهِ
تَعَالَى
Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam kerana Allah taala.
Lafaz niat solat jenazah bagi makmum ditambah perkataan مَأْمُوْمًا
أُصَلِّي
عَلَى هَذِهِ اْلمَيْتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيْرَاتٍ فَرْضَ كِفَايَةِ مَاْمُوْماً
للهِ تَعَالَى
Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan empat takbir fardhu kifayah
mengikut imam kerana Allah taala.
Kemudian bertakbir dengan takbir yang pertama (takbiratul ihram) disertai dengan niat di hati, kemudian baca Al-Fatihah. Takbiratul ihram
Kemudian bertakbir dengan takbir yang pertama (takbiratul ihram) disertai dengan niat di hati, kemudian baca Al-Fatihah. Takbiratul ihram
اَ للهُ
اَكْبَرُ
Bermaksud : Allah Maha Besar. Beserta dengan niat : Sahaja aku solat keatas ini mayat perempuan/lelaki/kanak lelaki/kanak perempuan empat takbir fardhu kifayah menjadi imam/mengikut imam kerana Allah taala. Membaca Surah Al-Fatihah. Takbir kedua baca selawat.
أَللَّهُمَّ
صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى
إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِ
مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى اَلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى
الْعَالمَِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.
Ya Allah berilah rahmat kepada junjungan Nabi Muhammad saw, dan berilah kesejahteraan kepada junjungan kami Nabi Muhammad saw sebagaimana Engkau memberikan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Berkatilah Nabi Muhammad saw dan keluarganya sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya atas alam-alam ini, Engkaulah zat yang terpuji dan Maha mulia. Takbir ketiga berdoa untuk si mati.
أَللَّهُمَّ
اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ
مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ
الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ
دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا
مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ
وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ
Ya Allah, ampunilah baginya dan kasihilah dia
dan afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya dan muliakan kedudukannya dan
lapangkan kuburnya dan bersihkan dia dengan air salju dan air dingin.
Bersihkanlah dia dari kesalahannya sebagaimana dibersihkan kain putih dari
kekotoran, dan gantikanlah kampunganya dengan kampung yang lebih baik dan ahli
keluarganya yang baik, suami isteri yang lebih baik. Masukkanlah dia ke dalam
syurga dan lindungilah dia dari seksa kubur dan fitnahnya dan dari seksa
neraka. Takbir keempat berdoa untuk si
mati lagi.
أَللَّهُمَّ
لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا بَعْدَهُ وَاغْفِرْلَنَا وَلَهُ
وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى
قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ
Ya Allah, janganlah Engkau haramkan permohonan kami untuk kebajikannya
dan janganlah Engkau membiarkan kami di timpa fitnah setelah ketiadaannya dan
ampunkanlah kami dan dia juga rakan kami yang terdahulu beriman dan janganlah
Engkau sematkan perasaan hasad dengki kedalam hati kami terhadap orang-orang
yang beriman. Tuhan kami, sesungguhnya Engkau bersifat pengasih dan penyanyang.
Memberi salam ke kanan dan ke kiri.
اَلسَّلاَمُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ
3.4.9 Waktu
sembahyang
Menurut mazhab syafi’i, sembahyang jenazah
merupakan sembahyang yang mempunyai sebab. Oleh itu, sembahyang itu harus dilakukan
pada sebarang waktu sekalipun pada lima waktu yang dimakruhkan sembahyang.
Manakala mazhab Hanafi pula menghukumkan sembahyang jenazah pada waktu
tersebut, pada lima waktu yang dimakruhkan, sebagai makruh tahrim. Lima waktu
yang dimaksudkan ialah :
i.
Ketika terbit matahari
ii.
Ketika masuk matahari
iii.
Ketika matahari berada di tengah-tengah langit
iv.
Selepas sembahyang subuh hingga terbit
matahari
v.
Selepas sembahyang asar hingga masuk matahari.
Mazhab maliki pula berpendapat bahawa, haram
melakukan sembahyang jenazah pada tiga waktu daripada lima waktu yang tersebut,
iaitu :
i.
Ketika terbit matahari
ii.
Ketika masuk matahari
iii.
Waktu matahari di tengah-tengah langit.
[1] Abdullah bin Abdurrahman al-Bassam, Syarah
Bulughul Maram 3, pustaka azam, Jakarta
Selatan, 2008, jilid 3, hlm 210.
[2] Selamat Hashim, Kematian dan Pengurusan
Jenazah, universiti teknologi malaysia skudai, johor, 2007, hlm 102.
[4] At-taubah 84.
[5] Riwayat Abu Daud, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah.
[6] Muhammad Nashiruddin al-Albani, Shahih Sunan Abu Daud
seleksi Hadith Shahih dari Kitab Sunan Abu Daud, buku 2, Pustaka Azzam,
2006, hlm. 481.
[7] Mohd Daniel Lim bin Abdullah, Buku Panduan
Pengurusan Dan Solat Jenazah Mengikut Sunnah, wholes-Mart Bussiness Point
Sdn Bhd, Selangor, hlm 25.
No comments:
Post a Comment