Monday, 11 March 2013

:: BAB III VOLUME 3 :: (KAFANKAN JENAZAH)


3.3.  MENGKAFANKAN JENAZAH
3.3.1. Hukum Mengkafankan Jenazah
Mengkafankan jenazah adalah fardhu kifayah, iaitu suatu kewajipan bersama yang dikenakan ke atas seluruh umat Islam. Sekiranya ada orang Islam tertentu yang menyempurnakannya, maka terlepaslah orang Islam yang lain daripada tanggungjawab tersebut. Tetapi jika sekiranya tidak ada seorang pun yang menyempurnakan tugas tersebut, maka seluruh umat Islam setempat berdosa kerana meninggalkan kewajipan fardhu tersebut.

3.3.2.  Perbelanjaan kafan
Barang yang diperlukan untuk mengkafankan jenazah memerlukan kepada peruntukan kewangan. Pembiayaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati. Syaratnya harta tersebut tidak bercampur dengan harta atau hak orang lain, seperti harta yang tergadai kepada seseorang. Sebelum membayar hutang dan menyempurnakan wasiat si mati, perbelanjaan untuk mengkafankannya hendaklah diutamakan. Sekiranya si mati tidak meninggalkan sebarang harta, maka perbelanjaan untuk mengkafan jenazahnya hendaklah ditanggung oleh mereka yang berkewajipan di sisi syarak dalam membiayai nafkahnya semasa hayat si mati dahulu.

            Menurut mazhab Syafi’e dan Hanafi, suami wajib membiayai perbelanjaan kafan jenazah isterinya. Hukum ini diambil kerana pembiayaan nafkah isteri adalah terletak di atas bahu suami. Menurut mazhab Maliki dan Hanbali pula, suami tidak wajib membiayai perbelanjaan mengurus jenazah isteri termasuk belanja kafannya. Mereka berhujah bahawa suami wajib menanggung nafkah isterinya semasa ia masih hidup kerana isteri menyempurnakan tuntutan batinnya sebagai isteri. Sebab itu, suami tidak wajib memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz atau diceraikan dengan talak bain, kerana dia tidak dapat menyempurnakan tuntutan batinnya dengan isterinya itu. Hak untuk membolehkan kehidupan berkelamin telah terputus apabila berlakunya kematian. Selepas mati, isteri sudah menjadi seperti orang asing (ajnabiah) kepada suaminya.

            Apabila diteliti kedua-dua pendapat ini, nampaknya yang lebih dapat diterima ialah pendapat yang pertama, iaitu pendapat mazhab Syafi’e dan Hanafi. Tidak sewajarnya dibeza-bezakan kedudukan isteri semasa hidup dan matinya.

3.3.3.  Jenis kain kafan dan anggarannya
Semasa hidup umat Islam diwajibkan menutup aurat. Bagi lelaki muslim, ia diharuskan memakai satu-satu jenis pakaian dan diharamkan memakai jenis pakaian tertentu. Maka, begitulah juga hukumnya apabila mereka mati. Ketika memilih kain untuk mengkafankan jenazah hendaklah diikuti panduan yang telah ditetapkan oleh syarak seperti berikut :

i.                        Kain yang diharuskan penggunaannya
Jenazah lelaki Islam hendaklah dikafankan menggunakan kain yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Kalau semasa hayatnya dia diharamkan memakai sutera, maka begitulah juga selepas matinya haram dikafan jenazahnya dengan kain sutera. Oleh itu, penggunaan kain sutera diharamkan sekiranya kain yang lain masih ada. Jika dalam keadaan tertentu misalnya sukar untuk mendapatkan kain, maka pada ketika itu harus menggunakan kain sutera untuk mengkafankan jenazah lelaki muslim. Dalam Muhgni al-Muhtaj dinyatakan bahawa harus mengkafankan jenazah kanak-kanak dan orang perempuan dewasa menggunakan kain sutera. Walaupun demikian penggunaan kain biasa yang berwarna putih itulah yang sebaik-baiknya digunakan sebagai kafannya.


ii.                        Kafan menggunakan kulit
Haram mengkafankan jenazah dengan menggunakan bahan kulit, lumpur atau rumput sedangkan pada masa yang sama bahan yang lain masih ada. Kulit hanya boleh digunakan kalau tidak ada kain. Seterusnya kalau kulit juga tiada, maka bolehlah menggunakan rumput. Jika rumput pun tidak ada, maka pada ketika itu bolehlah dikafan jenazah berkenaan dengan menggunakan lumpur yang dilumur ke seluruh tubuh badannya.


iii.                        Kain yang suci
Syarat bagi kain yang digunakan untuk mengkafan jenazah hendaklah suci daripada najis. Haram dikafankan jenazah dengan kain yang bernajis.


iv.                        Kadar kain yang diperlukan
Kain kafan yang digunakan itu hendaklah daripada jenis yang dapat menutup warna kulit. Sekiranya kain itu nipis sehingga menampakkan warna kulit, maka kain itu tidak dinamakan menutup aurat yang menjadi syarat semasa mengkafan jenazah. Begitu juga disyaratkan bagi setiap lapis kain yang digunakan itu dapat menutupi seluruh tubuh badan jenazah.

Peralatan kafan :
i.                    Kain putih (bidang 45/60”)
ii.                  Tali 5 utas
iii.                Kapas
iv.                Gunting
v.                  Kapur barus
vi.                Serbuk cendana
vii.              Minyak atar
viii.            Air mawar

Bagi jenazah orang Islam yang meninggal dunia semasa berada dalam ihram ; bagi lelaki ditinggalkan bahagian kepalanya dan bagi yang perempuan ditinggalkan bahagian mukanya, tidak ditutup dengan kain kafan tersebut. Sekurang-kurang kain yang dugunakan untuk mengkafan jenazah ialah sehelai kain yang dapat menutup seluruh tubuh badan jenazah tersebut. Sebaik-baiknya ialah tiga helai yang disusun berlapis untuk jenazah lelaki dan lima helai untuk jenazah jenazah perempuan.

Sekiranya perbelanjaan untuk membeli kain kafan itu diambil daripada harta si mati, maka bolehlah digunakan sebanyak tiga lapis, sama ada jenazah itu lelaki atau perempuan. Tetapi kalau perbelanjaannya diambil daripada Baitulmal, maka hendaklah digunakan selapis kain sahaja.

Bagi mereka yang berkemampuan, harus melebihkan penggunaan kain kafan lebih daripada tiga lapis. Contohnya, bagi jenazah lelaki dibalut dengan kain kafan dan juga dipakaikan serban. Bagi jenazah perempuan pula dibuatkan juga baju sama seperti jenazah lelaki dan dipakaikan tudung untuk menutup kepalanya.

3.3.4.  Langkah-langkah mengkafankan jenazah
i.      Sediakan tiga atau lima utas tali. Tali dipotong dari kain kafan
ii.      Ukur kadar ketinggian jenazah bagi menentukan kadar panjang kain kafan
iii.    Potongan tiga bahagian daripada kain kafan.
iv.    Hamparkan dan tindihkan ketiga-tiga kain antara satu sama lain.
v.      Gulungan kapas dihamparkan di tengah-tengah kain mengikut anggaran saiz jenazah dengan memanjang ke bawah.
vi.    Taburkan serbuk cendana di atas bentangan kapas
vii.  Dengan berhati-hati angkat jenazah tersebut dan baringkan di atas bentangan kain kafan.
viii.Dengan menggunakan kapas, tutup bahagian-bahagian berikut :
a.       Kemaluan
b.      Kedua-dua siku tangan dan dada.
c.       Kedua-dua telinga
d.      Muka
e.       Kedua-dua kaki
ix.    Taburkan serbuk cendana sekali lagi pada kapas yang terdapat di atas jenazah
x.      Selimutkan jenazah dengan kain kafan satu persatu daripada yang paling atas hingga yang paling bawah.
xi.    Ikat sebanyak tiga atau lima ikatan dengan tali kain yang telah disediakan. Mulakan dari hujung kaki, lutut dan pinggang. Ikatan mestilah bukan dalam ikatan mati kerana dikuburkan nanti, ia akan dibuka semula.
xii.  Bagi tatapan sanak saudara, biarkan bahagian muka jenazah terbuka.
xiii.Apabila jenazah sudah sedia untuk diusung atau disolatkan, ikat di bahagian leher dan atas kepala jenazah.
xiv.Sapu minyak wangi dan air mawar direnjis setelah selesai.



3.3.5.  Cara menyusun kain kafan.
Cara menyusun kain kafan dimulakan dengan membentang lapisan kain yang lebih lebar dahulu. Kemudian ditabur di atasnya ramuan pewangi. Selepas itu dibentang kain yang kedua di atasnya ramuan yang sama. Berikutnya dibentang pula kain yang ketiga ke atas kain yang kedua tadi dan ditabur di atasnya ramuan pewangi yang sama.

            Jika dibuatkan baju untuk jenazah itu, bolehlah dibentangkan di atas lapisan kain yang ketiga itu. Baju tersebut dibelah dua, iaitu di bahagian kiri dan kanannya dan dibuka ke atas serta dibentang secara membujur mengikut kedudukan jenazah. Selepas itu diangkat jenazah dengan perlahan-lahan dan dibaringkan dalam keadaan terlentang di atas baju tersebut. Kemudian ditutup bahagian atas jenazah tersebut dengan bahagian baju yang sebelah atas. Bahagian leher baju pastikan ditebuk terlebih dahulu. Jadi apabila ditutup tubuh badan jenazah yang sebelah atas itu dengan bahagian atas baju tersebut, kepalanya sudah berada di dalam leher baju yang sudah ditebuk tadi. Kedua-dua bahagian baju atas dan bawah diikat di bahagian tepinya yang digunting halus memanjang berbentuk tali.

            Selepas itu dipakaikan serban bagi jenazah lelaki dan tudung bagi jenazah perempuan mengikut pandangan golongan Syafiiah Mutaakhirin. Tangannya diletakkan di atas dada dengan tangan kiri di bawah dan tangan kanan di atas. Namun, boleh juga diluruskan kedua-dua tangan di kiri kanan badannya. Selepas itu, barulah dimulakan kerja mengkafan jenazah tersebut dengan membalut sehelai demi sehelai kain kafan ke tubuhnya. Selepas selesai kerja membalut, diikat pula bahagian-baghagian tertentu badannya dengan menggunakan cebisan kain kafannya.[1]




(gambar hiasan).
sebelum tidur muhasabah diri... :'( ain banyak dosa, maafkan ain ea semua.....



[1] Selamat Hashim, Kematian dan Pengurusan Jenazah, universiti teknologi malaysia skudai, johor, 2007, hlm

No comments:

Post a Comment